SELAMA ini, jenama Nikon dan Canon nyata mengungguli segmen pasaran kamera digital refleks kanta tunggal (DSLR) bagi kegunaan konsumer mahupun golongan profesional.
Namun, dengan kehadiran kamera DSLR keluaran Sony iaitu model a900 yang dilengkapi ciri serta fungsi bersandarkan teknologi terkini, ia dijangka mampu menyaingi kedua-dua jenama gergasi dalam segmen pasaran tersebut.
Salah satu ciri utama yang ditonjolkan pada model terbaru ini adalah kelengkapan kamera yang mencapai 24.6 mega piksel. Di samping itu, ciri tersebut dipadukan lagi dengan penambahan sensor ‘Exmor’ bersama-sama bingkai penuh bersaiz 35 milimeter (mm).
Jika dibandingkan dengan rangkaian kamera DSLR yang lain, bingkai sensor yang terbina dalam tidak sebesar dan mencapai 35 mm.
Ini secara tidak langsung memperlihatkan perbezaan yang ketara apabila rakaman dinamik dapat merakamkan segala ketelitian pada imej yang diambil pada sudut yang lebih luas.
Ini termasuk memastikan jangkauan sudut rakaman berada pada saiz yang luas dapat dilakukan ketika rakaman merakamkan imej.
Namun secara pasti, fungsi teknologi sensor itu adalah bagi menukarkan isyarat analog kepada isyarat digital yang menyingkir bunyi bising pada peringkat awal dalam memastikan imej yang ditangkap lebih tajam dan berkualiti.
Sensor
Selain itu, kehadiran sensor itu juga bertindak memberikan serta menukarkan isyarat analog kepada output isyarat digital yang lebih bersih.
Hasil rakaman tampak lebih jelas, terang, teliti dan juga berkualiti, malah ia turut kelihatan semula jadi.
Dalam pada itu, penyelarasan enjin pemprosesan imej ‘Dual Bionz’ pada model tersebut memantapkan lagi prestasi kamera itu.
Ini kerana, enjin tersebut berkemampuan untuk mempamerkan kuasa dan kelajuan dalam memproses imej yang dirakamkan.
Dalam pada masa yang sama, ia juga menyokong rakaman berkelajuan pantas selain memastikan faktor semula jadi masih dikekalkan pada aspek warna.
Bagi dipadankan dengan teknologi sensor Exmor, kemudahan kamera 24 megapiksel dan juga bingkai luas 35 mm, Sony turut mengambil inisiatif untuk menerapkan sistem ‘Steady Shot Inside’ bagi memperhebatkan lagi prestasi kamera tersebut.
Sistem yang berteraskan pembuatan kejuruteraan terkini Sony itu membenarkan imej dirakam dengan lebih stabil dan laju dari sistem terdahulu.
Kemampuan sistem penstabilan itu memperlihatkan penambahan prestasi sebanyak 1.5 kali berkuasa dan 1.3 kali lebih pantas dari sistem biasa. Ini turut membantu dalam mengelakkan proses peringkatan warna berlaku dan ini semua bergantung kepada lensa yang digunakan ketika rakaman dibuat.
Selain teknologi dan prestasi, model tersebut turut hadir dengan reka bentuk yang bersesuaian bagi sesebuah pembuatan kamera DSLR. Dengan rangka aloi magnesium yang turut mempunyai kalis habuk, a900 boleh dibawa kemana-mana termasuk untuk tujuan lasak dan kegiatan luar bangunan
Bagi mengekang kehadiran habuk, model tersebut didatangkan dengan sensor anti habuk yang bertindak melindungi sensor Exmor, kerana habuk atau benda asing tidak akan terlekat ketika pengguna menukar lensa ataupun ingin menyimpannya.
Dari sudut pengendalian pula, model tersebut didatangkan dengan reka bentuk yang memudahkan pengguna memegangnya sekali gus menawarkan cengkaman yang lebih selesa dan mantap kepada pengguna.
Selain itu, kehadiran butang intuitif memudahkan pengguna menyelaraskan mod dan menggunakan ciri yang terdapat pada model tersebut. Sama seperti siri pembuatan kamera DSLR masa kini, penerapan skrin paparan LCD pada bahagian belakang kamera sudah menjadi kemestian.
Oleh yang demikian, Sony menyelaraskan skrin LCD bersaiz 3.0 inci pada bahagian belakang kamera bagi mempermudahkan pengguna untuk melihat hasil rakaman.
Di samping itu, a900 turut dilengkapi pelbagai fungsi digital yang mampu menyerlahkan lagi daya kreativiti rakaman.
Kini, kamera DSLR Sony model a900 ini boleh didapati di pasaran tempatan dengan harga bermula daripada RM9,999 tanpa aksesori lain. Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat serta spesifikasi lengkap produk, boleh melayari laman web www.sony.com
Saturday, November 1, 2008
Sony a900 sandarkan teknologi terkini
Posted by amalina at 1:00 AM 0 comments
CPU kecil tetapi bergaya
PERANTI asas utama yang perlu ada untuk menggerakkan sebuah komputer peribadi adalah unit pemprosesan sepusat, selain monitor, papan kekunci dan juga tetikus.
Kebanyakan unit pemprosesan yang biasa kita lihat adalah bersaiz besar dan agak sukar untuk dibawa dari satu tempat ke satu tempat.
Namun, melalui revolusi pengkomputeran yang semakin berkembang, peranti tersebut kini wujud dalam bentuk yang lebih kecil bersaiz sebuah diari dengan masih mengekalkan fungsi asalnya.
Ia dilancarkan oleh syarikat pengeluar komputer terkenal, Asustek Komputer Malaysia Sdn. Bhd. (Asus) bagi memenuhi keperluan pengguna yang mengidamkan sebuah komputer peribadi yang bergaya, mudah dikendalikan dan menjimatkan kuasa.
Penghasilan model Eee Box yang merupakan produk terbaru untuk siri Eee PC menawarkan penyelesaian pengkomputeran yang kompak dan elegan.
Pengguna hanya perlu menekan satu butang mudah pada unit pemprosesan tersebut untuk mengaktifkan fungsi-fungsi yang ditawarkan.
Dengan menggunakan teknologi inovasi Asus iaitu Express Gate, pengguna akan dapat mengakses Internet, mengurus gambar dan berkomunikasi melalui aplikasi IM dan Skype dengan lebih pantas.
Eee Box disokong oleh teknologi sambungan tanpa wayar terkini, WiFi 802.11n yang membolehkan pengguna memuat turun video dengan durasi 30 minit hanya mengambil masa 44 saat.
Sementara itu, model tersebut juga mengaplikasikan prestasi penggunaan tenaga secara efisien dengan penjimatan sehingga 90 peratus berbanding unit pemprosesan yang bersaiz besar.
Lebih menarik, ia dilengkapi pemacu IPTV yang menawarkan aplikasi televisyen Internet untuk membolehkan pengguna menikmati pelbagai program televisyen secara mudah dan percuma.
Untuk menjimatkan ruang, pengguna boleh menyangkutkan Eee Box tersebut pada monitor dan ia secara tidak langsung menjadikan komputer peribadi mereka menawarkan perkhidmatan semua dalam satu.
Malah, model berkenaan turut boleh digunakan untuk penyambungan bersama alat elektronik media lain untuk pengalaman muzik, menonton video dan akses internet yang lebih naik.
Ia ditawarkan pada harga RM1,099. Maklumat dan spesifikasi lengkap mengenainya boleh didapati di laman web www.asus.com.
Posted by amalina at 12:59 AM 0 comments
ICT, biotek dalam pertanian
SERDANG 28 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bioteknologi diaplikasikan secara meluas dalam bidang pertanian bagi melonjakkan kemajuan sektor tersebut.
Perdana Menteri berkata, langkah menggabungkan dua elemen itu amat mustahak kerana pertanian dikenal pasti sebagai salah satu cabang ekonomi yang dapat membantu kerajaan menangani impak krisis kewangan global kepada negara.
"Saya amat yakin dengan masa depan bidang pertanian sekiranya elemen ICT dan bioteknologi dapat digabungkan kerana Malaysia boleh meraih manfaat yang sangat besar berikutan kelebihan yang telah ada pada kita dalam bidang tersebut.
"Malah dunia menyifatkan Malaysia sebagai berada di landasan yang tepat untuk memajukan bidang pertanian kerana kelebihan-kelebihan yang kita miliki ini," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Warga Tani Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 4,000 warga tani seluruh negara itu diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang.
Hadir sama ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui.
Abdullah kemudian melancarkan varieti baru cili padi yang dikenali sebagai 'Semerah'. Antara kelebihan varieti yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu adalah sifatnya yang cepat matang dan berhasil tinggi.
Sementara itu, Abdullah berkata, keyakinan kerajaan terhadap sektor pertanian bukanlah hanya impian kosong atau angan-angan Mat Jenin, sebaliknya ia berlandaskan usaha dan strategi bagi memajukan sektor itu.
Kata beliau, Bank Negara sendiri turut mengakui kemampuan sektor pertanian untuk muncul sebagai sektor ketiga terpenting dalam menyumbang kepada ekonomi negara.
Sehubungan itu, tambahnya, tanggapan sektor pertanian sebagai sektor lapuk dan tidak perlu dimajukan adalah satu kesilapan kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan kepada mereka yang terlibat.
"Jangan anggap leceh, karut dan mimpi untuk menjayakan sektor pertanian. Pertanian bukanlah perkara baru, Kementerian Pertanian dan MAHA (Ekspo Pertanian dan Hortikultur Malaysia) sudah lama wujud. Kita cuma memberi tambah nilai pada perkara-perkara itu.
"Dengan usaha yang bersungguh-sungguh, saya memang yakin pertanian dan industri asas tani punya masa depan yang cerah
"Macam MAHA yang lalu, ada usahawan asas tani kita seperti pengusaha kuah rojak beritahu dia mampu raih RM3 juta setahun, pengusaha makanan beku RM15 juta," ujarnya.
Abdullah berkata, atas sebab itu mereka yang terlibat dalam bidang pertanian harus mempunyai kualiti modal insan kerana dengan ilmu yang terkini barulah hasil pertanian mampu ditingkatkan.
Katanya, memandangkan industri pertanian sentiasa berkembang, ia menuntut mereka yang terlibat dengannya sentiasa menambah pengetahuan terhadap kaedah dan teknologi baru.
"Untuk menambah nilai kerja kita supaya memperoleh hasil yang lebih dan berkualiti, maka tidak ada jalan lain kecuali mendalami ilmu pertanian.
"Sebab itu saya minta warga tani kita supaya jangan anggap masa untuk belajar telah berlalu. Sebaliknya pelajaran adalah untuk sepanjang hayat," jelasnya.
Posted by amalina at 12:58 AM 0 comments